KETATANEGARAAN


Jalur Gemilang


Bendera Malaysia atau lebih dikenali dengan gelaran 'Jalur Gemilang' mengandungi 14 jalur merah dan putih yang berselang-selang dengan lebar yang sama bagi setiap jalur. Ini melambangkan Malaysia terdiri daripada 13 buah negeri dan satu Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada WP Kuala Lumpur, WP Labuan dan WP Putrajaya.
13 negeri tersebut ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga jalur merah yang ke lima itu bermakna perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Di tengah-tengahnya terdapat anak bulan serta bintang pecah 14 yang menunjukkan perpaduan di kalangan semua 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan di bawah satu pemerintah. Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna diraja bagi Duli Yang Maha Muli Raja-Raja. Bulan dan bintang melambangkan agama rasmi negara, iaitu Islam. Warna merah dan putih bermakna kedaulatan pemerintahan dan tanda kesucian.




JATA KEBANGSAAN / LAMBANG NEGARA
Lambang Malaysia menunjukkan bintang pecah 14 yang menandakan 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan yang terkandung di dalamnya. Manakala bintang dan anak bulan melambangkan Islam sebagai agama rasmi.
Lima keris di bahagian atas melambangkan lima buah negeri Melayu yang dahulunya Tidak Bersekutu-Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu. Di sebelah kiri ialah lambang negeri Pulau Pinang dan di sebellah kanan pula lambang negeri Melaka. Kedua-dua negeri tersebut merupakan Negeri-negeri Selat.
Di tengah-tengah lambang pula terdapat empat warna yang melambangkan empat buah negeri Melayu yang dahulunya merupakan Negeri-negeri Bersekutu. Warna hitam dan putih ialah warna bagi negeri Pahang, warna merah dan kuning bagi negeri Selangor, warna hitam, putih dan kuning bagi negeri Perak dan warna hitam, merah dan kuning bagi Negeri Sembilan.
Di sebelah bawah kiri adalah lambang negeri Sabah, manakala di sebelah kanan pula adalah lambang negeri Sarawak. Di sebelah bawah bahagian tengah adalah Bunga Raya yang melambangkan Bunga Kebangsaan. Harimau-harimau yang ditunjukkan sebagai penopang jata Negeri-negeri Melayu dahulu adalah dipakai dalam lambang Malaysia.
Cogan "BERSEKUTU BERTAMBAH MUTU" ditulis dengan tulisan Jawi dan Rumi. Warna kuning pada awan-awan ialah warna diraja bagi Duli Yang Maha Mulia Raja-raja.