PENGENALAN

Assalamualaikum dan salam perpaduan,

Kita sedia maklum bahawa tahun 2008 yang lalu menyaksikan betapa kurangnya aktiviti yang diadakan untuk anggota-anggota TKRS daerah Seremban. Ramai rakan guru pemimpin yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan aktiviti TKRS pada tahun ini dan juga tahun-tahun yang lalu.

Mungkin bagi kita, ianya sesuatu yang melegakan kerana tidak perlu banyak habiskan tenaga dan masa untuk melaksanakan atau mengikuti aktiviti tersebut, tetapi bagaimana pula bagi pelajar ? Mereka pasti akan sedih dan menyesal menjadi anggota TKRS bila dibandingkan dengan rakan-rakan yang menyertai unit unifom lain seperti pengakap dan sebagainya. Guru-guru pemimpin ketandusan idea dan hanya menjalankan aktiviti dalaman sahaja. Kalau ada perkhemahan pun, mungkin hanya sekali setahun bahkan itu pun dibuatnya di dalam kawasan sekolah. Bukan setakat pelajar, kita sebagai guru pemimpin pun turut merasai kebosanannya..

Justeru, untuk tidak menghampakan harapan pelajar kita yang menganggotai TKRS, pada tahun 2009 ini, saya merancang untuk melaksanakan beberapa siri kursus dan aktiviti yang menarik supaya dapat mereka jadikan kenangan dan kebanggaan mereka sepanjang hayat.

Saya menyeru kepada tuan/puan para guru pemimpin TKRS untuk duduk, baring dan berdiri bersama saya demi menjayakan perancangan kita ini. Tahun 2009, kita bertekad untuk menjadikan aktiviti TKRS sebagai aktiviti yang dapat memberikan kepuasan kepada anak didik kita.

Sekian.
KAPTEN (KRS) KAMAL BIN ISMAIL,
SK. TAMAN PAROI JAYA.

CADANGAN PENUBUHAN PUSAT AKTIVITI TKRS ZON AMPANGAN

Memandangkan TKRS Daerah pada tahun-tahun kebelakangan ini kurang menunjukkan keaktifannya, saya ingin menarik perhatian tuan/puan Guru-guru Pemimpin TKRS terutamanya dari sekolah-sekolah yang berhampiran dengan SK Taman Paroi Jaya untuk sama-sama kita memikirkan sesuatu demi anak-anak didik kita yang begitu berminat menyertai TKRS.
Peringkat awalnya, saya ingin mencadangkan penubuhan satu pusat aktiviti TKRS yang digelar Pusat Aktiviti TKRS Zon Ampangan. Keahliannya adalah terhad kepada enam buah sekolah di dalam Zon Ampangan, iaitu :

1. SK. King George V
2. SK. Taman Paroi Jaya
3. SK. Taman Tasik Jaya
4. SK. Ampangan
5. SK. Panchor
6. SK. Paroi
Perjalanan aktiviti TKRS Zon Ampangan banyak dilakukan secara bersama. Dengan demikian, kita dapat menjimatkan masa, tenaga dan kos. Selain itu, kita juga dapat berkongsi pengalaman dan kemahiran di antara satu sama lain.
Sila rujuk maklumat perancangan aktiviti yang saya cadangkan untuk pelaksanaan di tahun hadapan. Sebarang tambahan atau pengurangan serta komen-komen membina amat saya alu-alukan daripada tuan/puan terutamanya yang lebih berpengalaman.
Adalah menjadi harapan saya agar perjalanan TKRS pada tahun hadapan adalah jauh lebih baik daripada tahun ini. Sekian.
Salah satu daripada latihan ikatan dan simpulan. Gambar : KRS SMK. Puteri sedang mendengar penerangan dan tunjuk ajar daripada Guru Pemimpin.